Usrah, Agar Bukan Sekadar Rutin

Usrah, Agar Bukan Sekadar Rutin

Usrah merupakan elemen utama di dalam pentarbiyahan seseorang al-akh. Tidak boleh tidak, usrah yang benar dan mengikuti sunah golongan terdahulu merupakan sesuatu yang wajib diusahakan oleh mereka yang mendokong dakwah dan tarbiyah ini. Kecairan dan sikap sambil lewa di dalam usrah boleh menyebabkan lesu dan longlainya ruh para jundi untuk tetap siap menanggung amanah dakwah dan tarbiyah ini.

Para masyayikh tarbiyah telah mengariskan beberapa perkara tunjang di dalam usrah yang perlu sentiasa di semak dan diperbaiki jika terdapat kekurangan di dalamnya.

Terdapat beberapa perkara yang seharusnya menjadi petunjuk kepada seorang al-akh supaya usrah yang diadakan bukan sekadar pertemuan rutin semata-mata. Membenarkan NIAT adalah hal yang pertama sekali perlu kita perhatikan agar ia nya tidak menjadi sia-sia.

Keikhlasan Niat

Hadis pertama di dalam Arbain Nawawi ada menyebutkan tentang niat.

“Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai kerana niatnya, dan bagi setiap orang akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah keran dunia dan perempuan yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang diniatkannya itu” (Riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi, Abu Daud dan An-Nasaei)

Pentingnya niat ini adalah supaya setiap al-akh yang menghadiri pertemuan itu merasakan bahawa kedatangan mereka bukanlah kerana rutin usrah setiap minggu yang perlu mereka hadiri atau perasaan suka semata-mata tetapi kerana mengharapkan keredhaan Allah. Bertemunya mereka kerana mengharapkan redha Allah itu akan menyebabkan al-akh tersebut memberikan komitmen sepenuhnya di dalam usrah yang dihadirinya.

Tujuan menuntut ilmu pula hanyalah supaya kita dapat semakin mendekatkan diri kepada Allah. Maka tidak pantaslah bagi seorang al-akh untuk menjadikan niat menuntut ilmunya supaya dia lebih petah dalam berkata-kata ataupun supaya ilmu yang didapatinya itu menjadikan dirinya merasa lebih berbanding orang lain.

Mungkin ada di kalangan kita yang lebih pandai memilih kata dan menyentuh jiwa anggota usrah yang lain apabila mendengar bicaranya, maka ketika itulah al-akh tersebut perlu berhati-hati di atas pujian ataupun perasaan yang tersembunyi di dalam dadanya supaya tidak terjerumus ke dalam tersimpangnya niat selain mengharapkan keredhaan Allah dan semakin memahami agama Allah ini.

Daripada Abu Darda’ r.a berkata:

“Kamu tidak akan menjadi seorang yang bertaqwa, sehinggalah kamu menjadi berilmu dan tidaklah kamu menjadi indah dengan ilmu sehinggalah kamu beramal dengannya”

Kesan yang akan didapati oleh seorang penuntu ilmu di jalan dakwah adalah apabila dia mampu menterjemahkan segala teori ilmu yang didapati kepada amal yang sebenar. Tidak sama orang yang hanya berdiri di luar pagar melaung-laungkan takbir kemenangan dengan orang yang masuk sendiri ke dalam gelanggang untuk berjuang supaya menang.

Seorang al-akh akan menjadikan medan amal sebenar sebagai bukti kefahamannya terhadap ilmu yang dipelajari supaya dia tidak termasuk di dalam ayat yang di firmankan Allah Taala di dalam surah Al-Baqarah ayat 44:

“Apakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan kamu melupai diri kamu, sedangkan kamu membaca al-kitab, apakah kamu tidak berfikir?”

Perbaikilah niatmu selalu wahai ikhwah!

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *