Travelog Andalusia: Air Mata di Masjid Cordoba

Travelog Andalusia: Air Mata di Masjid Cordoba

Andalusia adalah syurga sebelum syurga.

Begitulah kata-kata para pengkaji sejarah apabila menceritakan tentang kehebatan dan keindahan bumi Andalusia di bawah pemerintahan khalifah islam suatu ketika dulu.

Keindahannya memukau mata sesiapa sahaja yang memandang, bayangkan mata yang memandang setelah 1000 tahun hari ini yang penuh dengan teknologi moden juga masih ternganga dan terpana dengan kecantikan dan seninya, apatah lagi ketika 1000 tahun yang lalu.

Pengalaman menjejakkan kaki ke bumi Andalusia benar-benar membuka mata dan fikiran saya. Kerana Andalusia bukan hanya dihiasi dengan kehebatan seni binanya tetapi di balik semuanya itu penuh dengan pelbagai cerita duka air mata kaum muslimin.

Air mata saya akhirnya tumpah juga kali pertama menjejakkan kaki ke dalam Mezquita de Cordoba. Tak sanggup rasanya saya mahu menuliskan namanya sebagai cetedral (gereja) walaupun kini begitulah namanya. Pernah dikenali sebagai Masjid Agung Cordoba dan menjadi antara masjid terbesar di dunia satu ketika dahulu, corak tiangnya persis seperti corak tiang di Masjid Nabawi, namun melihat kini dibina gereja di dalamnya dan aktif dilakukan upacara keagamaan kaum kristian menyebabkan hati saya seperti dirobek-robek kerana penghinaan ini. tapi adakah umat islam kini merasa juga kesakitan seperti ini?

Saya berjalan menghampiri mihrabnya. Masih jelas segala tulisan-tulisan mengagungkan Allah di sana, masih jelas warna dan corak hiasan di mihrab itu, cuma semuanya kelihatan suram dan terasa seolah-olah jika bangunan itu adalah manusia maka pastilah ia sudah basah dengan air mata kerana kesedihan yang teramat sangat mngenangkan dirinya. Betapa satu masa dahulu ia dibina dengan keimanan oleh Sang Khalifah Abd Rahman untuk umat islam masuk ke dalamnya bagi mengagungkan tuhan pencipta alam namun kini di dalamnya penuh dengan kesyirikan kepada Allah dan manusia yang masuk hanya untuk mengagumi binaannya.

Saya memejamkan mata. Alangkah berdosanya saya andai redha terhadap penghinaan ini. Jika hanya sekadar mengambil gambar dan keluar tanpa merasa apa-apa. Apatah lagi jika tidak bercita-cita untuk mengembalikannya kepada umat islam semula.

Jangan menangis Masjid Cordoba..
Satu hari nanti akan ada di kalangan kami yang akan mengesat air matamu, mengembalikan izzahmu sama seperti dulu..

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *