Cara Membina Rumah Dengan Percuma

Cara Membina Rumah Dengan Percuma

Pernah tak anda bayangkan untuk membina sebuah rumah tanpa perlu mengeluarkan walau sedikit wang sebagai modal?

Atau pernah tak anda membayangkan ada orang yang offer kepada anda untuk dibina sebuah rumah idaman anda dengan ditanggung sepenuhnya olehnya, syaratnya hanya satu, anda harus rajin siramkan pokok di depan rumahnya sahaja. Macam hampir mustahil ada kes begini kan?

Mustahil, hanya sifat lemah milik manusia. Tapi bukan Rabb sekalian alam. Mari saya bawakan satu hadis yang sangat mengagumkan kepada anda..

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. (Sahih Muslim)

Dalam hadith yang lain dijelaskan pula perincian solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadith di atas.

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. (Hadis At-Tarmidhi dan Ibn Majah)

Ulanglah membaca tawaran ini sekali lagi.. ‘Akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga’. Anda tidak salah baca, memang inilah janji Allah kepada mereka yang bersungguh mahu memburu hadiah hebat dari solat sunat rawatib ini.

Tanpa perlu mengeluarkan duit walau satu sen pun, yang diperlukan hanya kekuatan hati dan keinginan yang tinggi untuk terus beristiqomah melakukan amalan sunat yang sangat ditekankan oleh Ar-rasul sepanjang hayat baginda.

Oh ya, rumah ini bukan rumah biasa tau. Secantik apa pun bayangan rumah yang anda impikan di dunia, pasti tidak akan sama dengan hakikat sebenar keindahan rumah di syurga nanti. Hatta bagaimana rupa pintu rumahnya sahaja pun tidak akan mampu anda bayangkan!

Jadi, adakah anda akan melepaskan tawaran yang sangat hebat ini? Tidak mahukah anda menyiapkan tempat istirehat sejak dari hari ini walaupun jasad anda masih di dunia? Ayuh..bangunlah!

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *