Ramadhan: Mahukah Kita Menjadi Lebih Baik?

Ramadhan: Mahukah Kita Menjadi Lebih Baik?

Bumi berputar, masa terus berlalu, usia semakin meningkat, tahun silih berganti..
Kini Ramadhan datang lagi. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Biasanya istimewa atau tidak sesuatu benda itu akan tergantung kepada kaca mata orang yang melihat. Tapi benarkah hanya itu penilaiannya?

Tidak. Sama sekali tidak. Kerana tuhan sang pemilik alam semesta ini tahu sungguh kemampuan makhluk ciptaanNya yang bernama manusia. Kemampuan manusia ini sangat terbatas, kita kadang hanya menilai melalui logik akal atau perasaan dan sedikit ilmu yang kita tahu, kerana itulah Allah menjadikan Al-Quran sebagai kitab panduan yang wajib dijadikan kayu ukur dalam setiap aspek kehidupan.

 “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran yang memberi peringatan agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya.” (Surah An-Nahl, ayat 44)

Tujuan Akhir Ramadhan

Seperti Ramadhan, berapa ramai orang yang hanya menganggap ia hanyalah bulan untuk kita berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan Ramadhan itu intinya adalah bulan Al-Quran, bulan mengembalikan semula manusia kepada kitab panduan yang mungkin ia sudah tinggalkan sekian lama, atau hanya dialunkan di bibir tanpa diketahui maknanya.

 “Berapa ramai orang yang berpuasa, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu kecuali hanya rasa lapar dan dahaga sahaja. Dan berapa ramai orang yang solat malam, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada solat malamnya itu kecuali hanya terbatas kepada berjaganya sahaja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Bayangkan manusia mahu memulakan perjalanan, dia sudah menaiki kereta, tahu tujuan akhirnya mahu ke utara, tapi bila di tanya arah mana yang akan di ikuti dia hanya menggeleng dan berkata bahawa dia akan mengikuti ‘perasaan’ nya sahaja. Adakah orang begini akan sampai ke destinasi?

Mungkin akan sampai, tapi dengan seribu susah payah dan kelelahan, mungkin masa yang di ambil akan berkali ganda lebih lama untuk tiba ke destinasi kerana tersesat, dan lebih malang jika dia terlupa dia masih di dalam perjalanan dan belum sampai ke tujuan tetapi memilih untuk bermain-main di hentian rehat. Nah.. Kadang seperti itulah manusia yang terlupa tujuan akhir perjalanannya yang mahu ke syurga kerana terlalu dilalaikan dengan bunga-bunga kehidupan seperti kerja, keluarga, harta, pangkat dan macam-macam lagi.

Jadi jom kita reset kembali kehidupan kita seiring dengan bulan Ramadhan yang tiba ini. Sayyid Qutb pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Suburkanlah ‘ladang’ ini dengan baja yang akhirnya akan menumbuhkan pohon yang mekar dan boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Perbanyakkan tilawah Al-Quran dan tadabbur, sedekah, menyediakan makanan untuk orang berbuka, solat sunat taraweh, qiamulalail, berkongsi perkara bermanfaat di media sosial dan banyak lagi amalan kebaikan yang boleh di lakukan. Moga-moga segala amalan kebaikan ini akan menjadikan kita antara golongan yang mendapat hadiah sebenar Ramadhan iaitu TAQWA..

“Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ramadhan datang lagi,
Bulan Al-Quran kini kembali,
Buat hambaNya yang mahu mencari erti kehidupan diri,
Ayuhlah berangkat menujuNya,
Kerana Allah menjanjikan seribu satu rahmat dan keampunan buat hambaNya yang berusaha,
Tiada istilah terlambat untuk memulai..

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *