Apakah ‘Yahya’ mu itu?

Apakah ‘Yahya’ mu itu?

وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا

..Dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Rabbku

Ini ayat rintihan Nabi Zakaria di penghujung usianya. Uban di kepalanya sudah semakin memutih, jasadnya sudah semakin terasa lemah, tetapi hatinya masih meletakkan segunung harapan bahawa doanya yang satu ini pasti akan dikabulkan Allah walaupun di mata kasar ia nya seakan mustahil. Apatah lagi isterinya mandul, dan doanya yang tidak putus harap yang ia panjatkan adalah supaya dikurniakan zuriat dari isterinya yang mandul ini. Bagaimana mungkin? Logik akal pasti akan meneriakkan itu..

Tetapi lihatlah nabiullah Zakaria ini, resapilah kata-katanya yang Allah abadikan di dalam quran untuk kita hari ini mengambil pengajaran..

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (6)

Ia berkata “Ya Rabbku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Rabbku. Dan sesungguhnya aku khawatir terhadap mawaliku (yang mewarisiku) sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya’qub; dan jadikanlah ia, ya Rabbku, seorang yang diridhai.” (QS. Maryam: 4-6).

Betapa rendahnya hati baginda di hadapan Sang Penciptanya. Dia mulai dengan mengakui betapa lemahnya dirinya tetapi imannya tidak tergugah dengan kondisi fizikalnya, walau jasadnya lemah namun hatinya teguh dengan keyakinan kepada Allah, ‘Dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau wahai Rabbku..’, dia tidak menyoal mengapakan doa nya ini masih belum dikabulkan, dia tidak membentak menyalahkan takdir mengapa isterinya mandul, dia tidak berputus asa walau logik akal mengatakan sebaliknya kerana dia yakin bahawa tiada apa yang mustahil dengan izin Allah. kerana itulah rintihannya ..وَلَمْ أَكُنْ, hanya saja doanya masih belum sampai masanya untuk menjadi kenyatan, tetapi adakah mustahil bagi Allah untuk memperkenankan doa hambaNya?

إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَيْءٍ إِذَا أَرَدْنَاهُ أَنْ نَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ 
Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: Jadilah engkau!, maka menjadilah ia (Surah An-Nahl: 40)

Apakah ‘Yahya’ mu?

”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya” (Surah Maryam: 7)

Allah akhirnya mengabulkan doa Nabi Zakaria dengan menganugerahkan Yahya, yang juga akhirnya diangkat menjadi Nabi. Baginda Zakaria permintaannya bukan untuk dirinya sendiri, tetapi kerana memikirkan dakwah yang mahu baginda wariskan setelah ketiadaannya nanti. Yang diminta bukanlah kecukupan harta, bukan juga pangkat yang bergelimang cahaya, tetapi seseorang untuk mewarisi risalah dakwah baginda. Lalu kerana kemurnian niat dan impiannya itu maka Allah perkenankan doa nya yang sudah bertahun-tahun dipohon dengan penuh baik sangka.

Jadi, apakah ‘Yahya’ mu hari ini?

Hanya sebatas dunia kah? Atau melangkaui kehidupan sesudah matimu?

Jika harapan ‘Yahya’ mu hari ini adalah sesuatu yang diniatkan kerana akhirat dan risalah dakwah ini, fastabsyiru.. maka bergembiralah. Kerana satu saat nanti ia pasti akan dimakbulkan tuhan, dengan cara dan waktu yang mungkin tidak kau sangka-sangka. Selama hatimu yakin dan percaya, maka teruslah melantunkan doa mu ke langit yang terbuka luas ini..

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *