Bangkitkan Syukurmu..

Bangkitkan Syukurmu..

Di ceritakan bahawa satu hari Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah kerana melihat baginda sangat lama berdiri di dalam solat malamnya  sehingga bengkak kaki baginda.

Dengan nada hairan, Aisyah r.a bertanya “ Mengapa engkau masih berbuat seperti ini, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosa silam mu dan masa akan datang?”

Rasulullah saw pun bersabda, “Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?”
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah telah mengajarkan kita makna syukur  yang sebenarnya, bukanlah syukur itu hanya dengan menggerakkan lidah memuji nikmat kenyang, nikmat selamat tiba ke destinasi ataupun apabila mendapat apa yang kita suka.

Tetapi tanda syukur itu adalah mengerahkan segala upaya dan kudrat untuk mengerjakan apa saja yang diredhai oleh Sang Pemberi Nikmat.

Lihatlah makna syukur yang dimaksudkan oleh Ibn Al-Qayyim rahimahullah yang mengatakan bahawa “Syukur ialah terlihatnya tanda-tanda nikmat Allah pada lidah hambaNya dalam bentuk pujian, di hatinya dalam bentuk cinta kepadaNya, dan pada organ tubuh dalam bentuk taat dan tunduk”.

Maka tidak hairanlah jika kita melihat di dalam seerah, Rasulullah dan para sahabat dahulu apabila memahami erti syukur ini mereka sanggup mengorbankan segala harta bahkan nyawa mereka untuk memberikan yang terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat iman dan islam yang mereka dapat.

Abu Bakar r.a ketika baru sahaja memeluk islam, beliau terus berjalan mengelilingi kota Mekah dan mencari orang-orang untuk beliau ceritakan tentang islam, sehingga lahirlah sahabat-sahabat yang hebat  seperti Uthman bin Affan, Abdurrahman bin Auf dan ramai lagi yang mendapat sentuhan tanda kesyukuran Abu Bakar ketika itu.

Lihat pula Abu Hurairah r.a, beliau merupakan tokoh hadis yang terkenal kerana meriwayatkan hadis yang paling banyak dari Rasulullah saw. Tetapi tahukah kita pada tahun berapakah beliau memeluk islam?

Beliau memeluk islam pada tahun ke 7 hijrah! Bererti beliau hanya duduk bersama nabi selama 3 tahun lebih sahaja. Tetapi lihatlah betapa barakahnya tiga tahun tersebut dan bagaimana beliau memanfaatkan waktu yang ada sebaiknya sebagai tanda syukur beliau di atas nikmat islam yang beliau dapat walaupun mungkin agak lewat berbanding sahabat yang memeluk islam di zaman Mekah.

Mari Bersyukur!

Mungkin hari ini erti syukur yang sering kita fahami hanyalah sebatas mendapat pujian di lidah saat mendapat nikmat tetapi itu hakikatnya sangat jauh dari makna syukur yang sebenarnya. Maka, kerahkanlah segala usaha kita untuk menjadi hambaNya yang terbaik sebagai tanda kesyukuran kita di atas segala yang kita perolehi selama ini.

Dan nikmat apa lagi yang lebih besar selain dari nikmat islam dan iman yang telah kita dapat hari ini?

 

 

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *