Allah Al-Wakeel : Sebaik-baik Sandaranmu

Allah Al-Wakeel : Sebaik-baik Sandaranmu

Hidup ini memang selalu sibuk. Banyak benda kita nak kena selesaikan dari mula kita bangun tidur sampailah bila kita tidur balik.

Kalau kita ini seorang pelajar, mana nak siapkan assignment nya, nak ready untuk test dan segala macam kuiz nya, study group dan macam-macam lagi. Tambah pula, final exam dah nak dekat.

Kalau kita ini seorang pekerja. Ada KPI yang kena ikut, mana nak kejar due date nya, meeting sana sini, kadang terpaksa balik lewat semata-mata nak siapkan kerja.

Balik rumah pula sibuk dengan anak, nak tengok anak-anak membesar pun kadang tak sempat. Pergi kerja waktu mereka masih tidur, balik kerja pula waktu anak dah tidur.

Penat dan sesaknya hidup macam itu kan?

Dan bertambah penat bila semua tanggungjawab itu diletakkan sepenuhnya pada diri sendiri.

Tapi sebenarnya beruntung sangat bila menjadi orang islam, sebab kita ada Allah.

Firman Allah SWT: “ Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya”
( Surah Qaff: 16 )

Allah beritahu yang Allah ini paling dekat dengan hambaNya berbanding urat yang berada di dalam badan manusia itu sendiri. Maknanya apa? Maknanya Allah itu akan selalu dekat dan mengetahui apa yang ada di dalam jiwa manusia. Lebih dekat dari mak ayah kita, adik beradik kita, teman rapat kita hatta orang yang paling kita sayang sekalipun.

Allah Al-Wakeel

Dan ada satu asma Allah yang menunjukkan bahawa Allah ini tidak akan sekali-kali meninggalkan hambaNya yang beriman.

Al-Wakeel, yang sama ertinya dengan ‘wakil’ dalam bahasa kita. Wakil ini apa ya? Analoginya macam inilah, ada sekumpulan pelajar ini dia dah buat masalah dengan pensyarah mereka, jadinya pensyarah itu minta hantarkan seorang wakil antara mereka untuk berjumpa dan berbincang untuk selesaikan masalah itu. Anda rasa siapa wakil yang akan dihantar? Tak mungkin mereka akan pilih yang paling panas baran atau cepat gelabah kan? Mestilah yang akan dihantar menjadi wakil itu adalah orang yang paling tenang, paling berhikmah dalam berbincang, tak beremosi dan semua orang akan setuju bahawa di adalah calon terbaik untuk berbincang dengan pensyarah tersebut. Sebab apa? Sebab wakil ini akan pegang tanggungjawab besar untuk selesaikan masalah mereka dan menentukan nasib mereka selepas ini.

Nah.. bayangkan dalam setiap urusan kita kat dunia ini, Allah cakap yang Allah akan menjadi wakil dalam kehidupan kita? Allah yang menjadi wakil tau. Allah yang memiliki seluruh langit dan bumi, yang menguasai setiap hati-hati manusia walaupun manusia itu adalah yang paling berkuasa kat dunia ini. Boleh tak bayangkan betapa hebatnya hidup orang beriman ini bila dia memang boleh meletakkan Allah itu sebagai Al-Wakeel dalam kehidupan mereka.

Hidup mereka akan tenang. Mereka tahu bahawa di dalam setiap pekerjaan mereka ada Allah yang akan menyempurnakannya. Jika benda itu baik maka mereka akan bersyukur, jika sebaliknya maka mereka akan bersabar. Sebab mereka tahu bahawa Allah tidak akan mentakdirkan sesuatu melainkan ia adalah kebaikan bagi hambaNya.

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

(Surah Ali-Imran: 173)

Ayat di dalam surah Ali-Imran ini menceritakan detik-detik ketika kaum muslimin hendak diserang oleh kaum kafir Quraisy. Namun lihatlah apa jawapan mereka ketika itu, ‘hasbunallauh wa nikmal wakeel’ , cukuplah Allah untuk menolong kami dan ia sebaik-baik pelindung segala urusan.  Bayangkan dalam situasi peperangan, yang tentera kaum muslimin jauh lebih sedikit dari kaum kuffar, dan tidak mempunyai senjata dan kuda yang banyak jika dibandingkan dengan kaum musyrikin, pastilah motivasi mereka akan melemah menurut kita, tetapi lihatlah jawapan mereka setelah mendengar berita itu, mereka semakin bertambah keimanan dan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah dan tidak merasa lemah sama sekali.

Begitulah orang beriman. Dia akan kuat kerana dia menyandarkan dirinya kepada Allah Yang Maha Kuat. Tetapi jika manusia itu hanya bersandar kepada dirinya, hakikatnya dia akan merasa jenuh dan lemah, kerana kudratnya terbatas, dirinya juga banyak kelemahan dan jauh dari kesempurnaan.

 

Khansa Ayyash

mahu HIDUP selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *