Memori sang tukang kayu di dalam Quran

Memori sang tukang kayu di dalam Quran

Surah Yasiin adalah antara surah yang seringkali dilazimi oleh masyarakat Islam di Malaysia, terutamanya sebagai bacaan minggu Khamis malam Jumaat atau sebagai bacaan tahlil. Tetapi tahukah anda bahawa surah ini turut mengandungi pengajaran yang mendalam tentang kisah dakwah orang-orang terdahulu, yang telah diabadikan oleh Allah SWT buat rujukan para daie hari ini!

Lokasi Antakiyah (Antioch) pada hari ini di negara Turki moden yang dahulunya termasuk jajahan empayar Rom

Ayat yang dimaksudkan disini adalah ayat 20-21 yang berkisar tentang dialog seorang lelaki (rijal), satu-satunya mad’u yang menerima dakwah tiga orang rasul yang diutus oleh Allah SWT ke negeri Antakiyah (Antioch), menurut Ibnu Kathir dalam Tafsir beliau. Negeri Antakiyah pada zaman itu termasuk dalam empayar Rom, terletak di negara moden Turki pada hari ini.

Ya Sin 36:20

وَجَآءَ

((Dan telah datang..))

Salah satu kualiti yang seharusnya dimiliki oleh seorang daie adalah bersikap proaktif dalam mendatangi golongan yang didakwahi. Dia tidak memerlukan jemputan atau ajakan untuk mendatangi mereka dan bercerita tentang Islam. Cukuplah perasaan sayangkan umat dan risau akan permasalahan umat ini yang membuatkan dia bingkas bangun dari lenanya.

مِنْ أَقْصَا ٱلْمَدِينَةِ

((.. daripada hujung kota..))

Lelaki yang dimaksudkan dalam ayat ini datang dari kawasan yang jauh daripada pusat bandar dan semestinya ia melibatkan jarak yang jauh, kos yang banyak dan masa yang lama. Tetapi atas urusan dakwah, lelaki ini sanggup mengorbankan perkara-perkara di atas meskipun tidak ada jaminan bahawa orang-orang yg ingin didakwahi akan menerima seruannya itu.

رَجُلٌ

((..pemuda..))

Lelaki yang dimaksudkan disini adalah Habib an-Najar, seorang lelaki tua yang bekerja sebagai tukang kayu. Perkataan rijal yang digunakan disini lebih merujuk kepada sifat lelaki yang diceritakan yaitu berani,  bersemangat dan sanggup bergadai apa sahaja untuk mencapai tujuan. Diceritakan bahawa Habib anNajar, juga dikenali ilmuan Barat sebagai Habib The Carpenter adalah lelaki yang miskin, juga bukan dari golongan yang ternama. Sungguhpun tidak dikenali (nobody), ia tidak menghalang beliau dari terus berdakwah walaupun kepada penduduk bandar yang sudah tentu dihuni oleh golongan kaya-raya dan berstatus tinggi.

يَسْعَىٰ

((..dengan bergegas..))

Habib anNajar telah memberi contoh bahawa dakwah itu seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tidak bertangguh kerana dia menyedari bahawa berlambat-lambatnya  dia dalam urusan dakwah akan memberi ruang kepada puak kuffar untuk melaksanakan rancangan jahiliyah mereka.

قَالَ

(( Dia berkata..))

Setiap orang yang ingin berdakwah haruslah menyediakan diri kemampuan untuk menyampaikan mesej dakwahnya melalui lisan. Semua nabi dan rasul yang pernah diutuskan kepada kaum mereka telah menggunakan medium lisan sebagai alat berdakwah mereka yang utama.

يَٰقَوْمِ

(( wahai kaumku..))

Perkataan ini menunjukkan kasihnya Habib kepada kaumnya. Dia punya pilihan untuk mendiamkan dirinya dan tidak keluar berdakwah tapi apa yang membuatkan dia bersegera dalam dakwahnya adalah kerana memikirkan nasib umatnya di akhirat kelak.

ٱتَّبِعُوا۟ ٱلْمُرْسَلِينَ

((Ikutilah rasul-rasul itu))

Para pendakwah seharusnya mengajak mad’u kepada ajaran Rasulullah SAW, bukannya mengajak kepada golongan tertentu atau individu. Mesej dakwah kita seharusnya jelas dan terang serta mengambil dari al-Quran & As sunnah semata.

Ya Sin 36:21

ٱتَّبِعُوا۟ مَن لَّا يَسْـَٔلُكُمْ أَجْرًا

((Ikutilah orang yang tidak meminta balasan daripadamu))

Daie seharusnya selalu membetulkan niat dalam berdakwah iaitu lillahi taala dan sentiasa membersihkan niat dakwah daripada tujuan duniawi. Belajar untuk mengamalkan sifir kosong untuk semua benda yang telah diinfakkan kerana kita mengetahui bahawa Allah lah sebaik-baik pemberi balasan.

وَهُم مُّهْتَدُونَ

((..dan mereka adalah orang yang mendapat petunjuk.))

Dan sudah semestinya antara booster seorang daie itu untuk berbuat adalah kerana dia mengharapkan petunjuk dari Allah; iaitu orang yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mengajak orang lain ke arah kebaikan juga.

Menurut tafsir Ibnu Kathir, sebaik sahaja Habib selesai berucap di depan kaumnya (kononnya dia berucap di dalam colloseum, kerana situ adalah antara tempat berkumpul ramai orang di pusat bandar zaman Rome dulu), dia terus dibelasah oleh kaumnya sehingga dikatakan terkeluar segala isi perutnya sampailah dia syahid. Tidak hairanlah ayat seterusnya, ayat 26 merujuk kepada seruan kepada Habib untuk masuk ke dalam syurga, hadiah dari Allah atas kesyahidan beliau.

Mungkin pada kebanyakan waktunya Habib anNajar ini adalah orang yang tidak dikenali dan tidak memiliki banyak harta pun, tetapi Allah telah mengabadikan kisah beliau di dalam Quran untuk menjadi tauladan kita pada hari ini. Wallahu a’lam bissawab..

 

Dr Jen

Sarah Ibrahim

Sarah Ibrahim ialah editor tetap tarbiyahkita.com. Beliau sangat meminati penulisan sejarah dan isu semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *