Menjadi Yang Terasing

Menjadi Yang Terasing

Minggu lepas ketika cuti Hari Raya Aidiladha, saya menikmati secawan teh bersama cekodok bawang di rumah ibubapa saya. Sambil saya berbual dengan keluarga, dua orang anak saudara (kembar), bermain dan bergaduh sesama mereka. Untuk mengelakkan pergaduhan, saya meletakkan beberapa batang pensel warna bersama beberapa helai kertas dengan harapan mereka berdua akan melukis dan berhenti bergaduh. Tapi apa yang berlaku ialah mereka berdua bergaduh dengan lebih teruk. Saya terkeliru dengan apa yang berlaku dan selepas melihat dengan teliti, barulah saya perasan yang mereka berebut sebatang pensel warna merah. Pensel warna merah itu mendapat perhatian mereka berdua kerana jenisnya yang berlainan dari pensel warna yang lain dan juga saiznya yang lebih besar.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada kisah semasa saya kecil. Dulu semasa kecil, saya selalu berebut ayam dalam pinggan adik saya walaupun dalam pinggan saya telah berisi ayam yang saya mahukan. Teringat bebelan mak “apa yang dalam pinggan orang tu la yang awak nampak bernilai dan mahukan”. Kisah kisah ini mengingatkan saya kepada pepatah Rom, “rara sunt cara” yang bermaksud “rare is valuable”. Fenomena “rare is valuable” ini telah lama berlaku dalam kehidupan kita. Semakin asing sesuatu itu, semakin tinggi keinginan manusia terhadapnya.

 

Dari Abu Hurairah r.a, bersabda Rasulullah SAW, “Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing”

Islam dimulai dalam keadan asing sebagaimana keadaan di Mekkah dan di Madinah ketika awal-awal hijrah. Islam tidak diketahui dan tidak ada yang mengamalkan kecuali sedikit orang saja. Kemudian ia mulai tersebar dan orang-orang masuk (Islam) dengan jumlah yang banyak dan dominan di atas agama-agama yang lain. Di zaman kini, Islam kembali menjadi asing. Namun, di sebalik keasingan islam ini, mengapa keinginan manusia terhadap islam tidak begitu kuat. Bukankah kerana asingnya islam, maka ia menjadi sesuatu yang lebih bernilai buat kita. Ironisnya , zina, LGBT, minum arak dan riba yang dahulunya asing , tapi di zaman kini tidak lagi kelihatan asing. Malah, isu perjuangan hak golongan lgbt ini kelihatan lebih bernilai di mata masyarakat dan juga sesetengah pemimpin. Di zaman ini, Islam bukan sahaja asing, malah mengamalkan islam sendiri memerlukan kekuatan jiwa dan fizikal.

 

Rasulullah- Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya “Wahai Rasulullah siapa yang asing itu (al-Ghuraba)?” Rasulullah- Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: ”Yaitu orang-orang yang mengadakan perbaikan di tengah manusia yang berbuat kerusakan”.
Dan dalam lafadz yang lain:”mereka adalah orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang dirusak manusia”

 

 

:::Kita memohon kepada Allah – agar menjadikan kita dan juga saudara kita kaum muslimin supaya tidak terjerumus dalam gelombang kemaksiatan ini dan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang telah terlanjur terjerumus ke dalam golongan ini. Hanya Dialah sebaik-baik tempat meminta.

Sarah Ibrahim

Sarah Ibrahim ialah editor tetap tarbiyahkita.com. Beliau sangat meminati penulisan sejarah dan isu semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *