Ada Apa Dengan Wasilah Tarbiyah?

Ada Apa Dengan Wasilah Tarbiyah?

Jalan untuk perbaikan (islah) tidak akan didapati melainkan dengan pendidikan (tarbiyah).  Kerana apa? Kerana tarbiyah inilah yang akan berinteraksi dengan fitrah manusia baik secara langsung melalui kata-kata mahupun secara tidak langsung melalui akhlak dan keteladanan.

Allah swt berfirman: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”.
(Surah Ali- Imran ayat 110 )

Di dalam dakwah kita, tarbiyah menjadi sumber terpenting untuk memastikan pengislahan diri setiap individu itu berlaku dengan baik. Individu itu juga akhirnya bertanggungjawab untuk turut mengislahkan masyarakat di sekelilingnya sehingga kebaikan ini menular ke seluruh alam sesuai dengan fitrah islam sebagai agama yang menjamin kesejahteraan penganutnya dan alam buana ini.

Dari mana sahaja kita boleh mendapatkan tarbiyah ini?

Imam Hasan Al-Banna dalam dakwahnya bersama Ikhwanul Muslimin telah menggariskan 7 wasilah tarbiyah yang harus dilalui oleh setiap orang yang mahu melalui proses pengislahan ini. Dan yang menariknya kesemua tujuh wasilah tarbiyah ini bukanlah hanya dengan duduk sahaja mendengar ceramah seperti di dalam kelas tetapi ia akan menggabungkan kesemua elemen-elemen penting dalam diri seseorang individu tersebut baik dari segi emosi, jasadi dan rohani. Sehingga akhirnya individu-individu ini akan menjadi agen-agen perubahan kepada umat ini.

****

Mari kita lihat 7 wasilah tarbiyah ini.

Yang pertama, Usrah. Usrah adalah komponen terpenting di dalam proses pentarbiyahan ini. Ia adalah tempat pertama untuk saling berbincang mengenai permasalahan diri dan umat ini sehingga pertemuan seminggu sekali itu adalah pertemuan yang paling dinantikan oleh ahli usrah. Pastinya, usrah yang benar adalah usrah yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah kerana usrah bukanlah tempat untuk melahirkan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan apa yang pernah dicontohkan Rasulullah dan sahabat dahulu melainkan ia adalah sebuah support-system mereka yang mahu mengislahkan diri.

Kumpulan usrah ini adakalanya digabung dalam setiap bulan atau beberapa waktu untuk menjalankan wasilah katibah. Katibah adalah proses mentarbiyah ahli usrah dengan menumpukan kepada aspek rohani dan penyucian hati di samping mendidik anggota katibah untuk melazimi ibadah seperti tahajud, tadabbur, puasa sunat, bertilawah dan berzikir.

Seterusnya adalah rihlah. Rihlah dalam bahasa arab bermaksud perjalanan. Ia adalah aktiviti yang lebih cenderung kepada aktiviti fizikal dan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli jamaah. Kerana itulah rihlah lebih cenderung untuk di lakukan di tasik, air terjun mahupun pantai ataupun di lokasi yang lebih santai.

Wasilah seterusnya adalah mukhayam yang mungkin boleh dikatakan sebagai gabungan antara usrah, katibah dan rihlah. Mukhayam dalam bahasa mudahnya adalah camping yang mana ia bertujuan untuk pengumpulan, pentarbiyahan dan perlatihan. Tidak hanya menfokuskan kepada elemen jasadi sahaja tetapi turut menfokuskan kepada kekuatan mental dan rohani para ahli.  Wasilah ini kebiasaannya dilakukan selama beberapa hari di dalam setahun untuk mendidik aspek kesabaran ketika di dalam kesusahan,  kerjasama sesama ahli, memikul tanggungjawab sebagai qiyadah (pemimpin)  atau jundi (tentera) dan pengajaran sejarah harakah islam baik secara teori ataupun amali.

Selanjutnya adalah daurah. Daurah adalah aktiviti mengumpulkan ahli di dalam sebuah tempat untuk mendengarkan ceramah ataupun kajian yang mengangkat tema tertentu yang bersesuaian dengan tahapan para ahli tersebut. Ia penting agar kefahaman ahli akan semakin bertambah seiring dengan usia pentarbiyahan yang dilalui.

Nadwah pula berkumpulnya sekumpulan ahli di suatu tempat untuk melakukan perbincangan tentang sesuatu tema berkaitan islam. Manakala muktamar pula adalah forum besar yang disertai lebih ramai ahli untuk melakukan kajian dan perbincangan tentang suatu persoalan.  Ketiga-tiga wasilah yang terakhir ini kelihatan hampir sama antara satu sama lain tetapi setiap satunya mempunyai pemfokusan tersendiri sehingga ia tetap wajib dihadiri oleh para ahli untuk memastikan kelangsungan tarbiyah mereka.

Walaupun kelihatan sukar namun percayalah bahawa tarbiyah ini tidak mungkin akan didapati dengan jalan yang mudah melainkan para pengikutnya harus beriltizam untuk mengikuti semua wasilah yang ditetapkan, supaya satu hari nanti kita akan mampu melahirkan generasi seperti para sahabat terdahulu.

Buku rujukan:  Wasailut Tarbiyah ‘inda Ikhwanil Muslimin (Dr. Ali Abdul Halim Mahmud)

Oleh: Khansa’ Ayyash

Sarah Ibrahim

Sarah Ibrahim ialah editor tetap tarbiyahkita.com. Beliau sangat meminati penulisan sejarah dan isu semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *